Blog

Perompak bersenjata mencederakan empat ahli keluarga

LABUAN: Empat orang dari satu keluarga mengalami kecederaan apabila bergelut dengan tiga perompak bertopeng dan bersenjata yang memecah masuk ke rumah mereka pada awal pagi, Ahad.

Ketiga-tiga perompak yang bersenjatakan pistol angin, parang dan pisau dan bertutur dalam loghat Melayu Filipina, melarikan wang tunai RM10,000 dan sebuah kereta Toyota Altis milik keluarga itu.

Pengadu, 39 tahun memberitahu polis, dia terjaga pada 3 pagi apabila penggera keselamatan berbunyi dan segera turun ke bawah sebelum terserempak dengan tiga lelaki memakai topi dan menutup muka mereka dengan kain hitam, seorang daripada mereka kemudian mengaju parang ke arahnya.

Dia menjerit, menyebabkan bapanya, 72, adiknya, 33 bersama isteri, 38, turun ke bawah untuk membantu, dan satu pergelutan kemudian berlaku antara mereka dan ketiga-tiga perompak tersebut selama kira-kira 30 minit.

Semasa bergelut, bapanya cedera di pipi kanan, lengan kanan dan tangan kiri akibat terkena pisau sementara pengadu dan adiknya mengalami kecederaan ringan di di kening sebelah kanan dan isteri adiknya cedera di lutut kiri.

Kerana bimbangkan keselamatan keluarga, isteri menyerahkan wang dan kunci kereta kepada perompak-perompak itu sebelum mereka meninggalkan rumah itu selepas pintu automatik rumah dibuka oleh bapa pengadu.

Ketua Polis Labuan, Supt. Muhamad Farid Ahmad memberitahu Bernama isteri pengadu menghubungi polis pada 4.15 pagi dan siasatan sedang dijalankan untuk memburu ketiga-tiga perompak terbabit.

“Kesemua mereka yang cedera berada dalam keadaan stabil kecuali bapa pengadu yang masih dirawat kerana rawatan lanjut,” katanya.

Siasatan awal mendapati ketiga-tiga perompak itu memangat pagar setinggi lima kaki tiga inci itu menggunakan bingkai pintu yang pecah di belakang rumah untuk sampai ke koridor di tingkat atas sebelum memecahkan pintu aluminium untuk masuk ke dalam rumah.

“Setakat ini, kami telah menemukan kereta curi itu yang ditinggalkan tanpa dikunci di pinggir bandar pada pukul 8 pagi, hari ini.

sumber: Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *