Blog

Wanita cedera dilibas perompak dalam kes pecah rumah di Kuala Ketil

KUALA KETIL: Seorang wanita cedera di tangan kiri selepas dilibas sabit ketika bergelut menyelamatkan diri daripada dua penjenayah yang menceroboh masuk dalam rumahnya di Taman Insaniah semalam.

Abang mangsa, Prachor Esoon, 31, dalam kejadian 4.45 pagi itu, dua perompak berkenaan masuk melalui bumbung.

Katanya, adiknya, Alisa, 25, sebelum itu terjaga daripada tidur selepas terdengar sesuatu daripada halaman rumah.

“Bila dia selak tirai bilik, adik nampak dua lelaki sedang memanjat pokok mempelam di hadapan bumbung parkir, seorang lagi tunggu di luar dengan motosikal.

“Adik sempat rakam tindakan mereka dan hubungi polis, tapi dalam sekelip mata dua lelaki itu sudah ada di ruang tamu,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, salah seorang penjenayah kemudian bertindak mencungkil pintu bilik tidur adiknya dengan sabit manakala seorang lagi mencari barangan berharga di ruang tamu.

Menurutnya, pagi kejadian ialah hari terakhir adiknya tinggal di situ kerana akan berpindah ke taman lain.

“Sudah dua tahun dia tinggal berseorangan kerana kerja di sebuah bank di sini. Hari kejadian dia ditemani mak, Ein Eshook,53, dan adik saudara lelaki, Anuchis Aran,14. Mereka tidur sebilik.

“Selepas berjaya cungkil penjenayah tu cuba masuk bilik tetapi dihalang mak dan adik saudara yang sandar di pintu bilik. Dalam masa sama, adik libas tangan pencuri itu dengan rantai kunci motosikal.

Prachor berkata, bilik itu akhirnya berjaya dimasuki selepas cubaan kali keempat.

“Penjenayah itu lebih agresif dan terus libas adik bila berjaya masuk,” katanya.

Menurutnya, adiknya kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Sungai Petani.

“Kami berharap penjenayah itu dapat ditangkap secepat mungkin.

“Bahan bukti sudah diserahkan kepada polis. Ada satu helmet penjenayah tertinggal di atas siling. Kesan tapak tangan dan kaki pun masih berbekas dalam rumah,” katanya .

Sementara itu, polis masih berusaha mengesan penjenayah terbabit.

Dalam pada itu, beberapa penduduk ditemui Sinar Harian meluahkan kebimbangan kerana taman berkenaan sering menjadi sasaran penjenayah.

sumber: Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *