Blog

Kereta dipecah masuk dalam pagar rumah

ALOR GAJAH – Seorang pesara kerajaan terkejut apabila ketiga-tiga kereta yang diletakkan dalam rumah berpagar diceroboh masuk individu yang tidak dikenali, di Taman Angsa Mas, Durian Tunggal, awal pagi, semalam.

Siti Hawa Abdullah, 58, berkata, kejadian itu hanya disedari suaminya yang bersiap- siap untuk ke masjid dan mendapati ketiga-tiga pintu kereta mereka terbuka lebih kurang jam 5.30 pagi.

Menurutnya, apabila membuat pemeriksaan dalam kenderaan mendapati barang disimpan dalam laci dashboard, di dalam ketiga-tiga kereta berkenaan termasuk dua buah kereta Perodua Myvi dan sebuah Perodua Kancil diselongkar sehinggakan barang-barang bertaburan dan bersepah di tempat duduk namun tiada sebarang kerugian yang dilaporkan.

Gambar hiasan

“Terkejut bila lihat pintu ketiga-tiga kereta terbuka sedangkan pintu pagar automatik tertutup dan kemungkinan dia memanjat masuk ke kawasan rumah kami memandangkan belakang rumah sedikit gelap.

“Walaupun risau namun syukur tiada barang-barang berharga yang diletakkan dan disimpan dalam kereta,” katanya.

Tambahnya, menerusi rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) dari sebuah rumah penduduk berhampiran juga mendapati seorang individu lelaki berlegar-legar di depan rumah jiran terbabit lebih kurang jam 3.56 pagi hari yang sama.

Menurutnya, ini kali kedua rumahnya dimasuki pencuri.

Beberapa tahun lalu sebuah motosikal Honda EX5 anaknya pernah dilarikan pencuri biarpun motosikal tersebut diletakkan dalam kawasan rumah.

“Bagaimanapun saya belum membuat sebarang laporan polis kerana tiada barang yang hilang, dan ada jiran yang telah buat laporan.

“Sebelum ini pun beberapa jiran berhampiran memberitahu kereta mereka juga nyaris diselongkar dan berharap pihak polis lebih kerap membuat rondaan di taman ini,” katanya.

sumber: Sinar harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *